Pejuang Kanser Tiroid

Hasil Nukilan Sitti Suraidah binti Anas Proxima

Saya, Sitti Suraidah binti Anas merupakan seorang penghidap kanser tiroid. Kisah ini bukanlah bertujuan untuk meraih simpati. Sebaliknya, semoga kisah saya memberi sedikit inspirasi kepada pejuang-pejuang kanser yang lain agar tidak mudah menyerah kalah. Kepada sahabat-sahabat seperjuangan saya, kadet PTD 2019 (Imperius), semoga kisah saya dapat menyedarkan kalian, mengejar cita-cita menjadi seorang PTD bagi saya bukanlah mudah. Tiada alasan untuk saya tidak mensyukuri setiap nikmat kurniaan Allah S.W.T.

Saya dan Kanser Tiroid. Penyakit kanser tiroid bukanlah suatu penyakit yang diketahui umum. Sedikit info mengenai penyakit ini: Kelenjar tiroid adalah kelenjar berbentuk rama-rama dan terletak di kawasan leher. Kelenjar ini membantu untuk mengawal mekanisme badan kita. Ia menghasilkan hormon tiroid apabila diperlukan. Dua jenis sel yang menghasilkan hormon adalah sel-sel folikel dan sel-sel C. Sel-sel folikel menghasilkan hormon tiroid yang mengawal denyutan jantung, suhu badan dan menghasilkan tenaga untuk tubuh manusia. Sementara itu, sel-sel C menghasilkan calcitonin, sejenis hormon yang membantu untuk mengawal tahap kalsium dalam darah. Apabila pengeluaran hormon ini adalah berlebihan dalam badan, ia dikenali sebagai hipertiroidisme manakala apabila ia terlalu sedikit ia dikenali sebagai hipotiroidisme. Kanser tiroid bermula apabila sel-sel dalam kelenjar tiroid menjadi tidak normal, tumbuh tanpa kawalan dan membentuk tumor malignan tiroid. Terdapat empat jenis kanser tiroid papillari, tumorsumsum belakang, tumor folikel dan tumor anaplastic.

Bagi kes saya adalah kanser tiroid jenis papillari. Jika sel-sel kanser tiroid tidak dikesan dan pengesanan awal rawatan tidak dilakukan, ia boleh merebak ke bahagian lain dari tubuh manusia atau organ melalui aliran darah. Syukur alhamdulillah kanser tiroid saya dikesan awal. Ianya bermula ketika saya membuat pemeriksaan kesihatan bagi menyertai Kursus Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam pada tahun 2017. Masih segar di ingatan saya, pada hari tersebut saya berasa sangat gembira kerana telah berada selangkah dihadapan untuk memasuki alam kerjaya. Namun siapa sangka, Allah SWT telah menganugerahkan saya satu rezeki yang lebih besar hadir di rahim saya. Ya, saya disahkan mengandung. Perasaan saya bercampur baur antara gembira dan sedih memikirkan peluang menyertai kursus DPA bakal terlepas. Tapi bukan itu sahaja, ketika membuat pemeriksaan lain, doktor mendapati saya mempunyai satu ketulan sebesar 2cm hingga 3cm pada leher sebelah kiri saya. Namun, saya tidak mengendahkan penemuan tersebut kerana saya tidak merasakan sakit pada bahagian tersebut. Bahkan, seumur hidup saya sangat jarang jatuh sakit. Apa yang membebani fikiran saya ketika itu hanyalah kursus DPA. Sekalipun saya tidak menjadikan anak sebagai bandingan untuk membina kerjaya, jauh disudut hati saya, saya ingin sahaja merahsiakan kandungan ini agar saya boleh meneruskan kursus DPA.

Namun, kewarasan masih milik saya. Setelah menghubungi pihak JPA untuk mendapatkan nasihat, saya mencuba nasib untuk membuat surat permohonan penangguhan kursus DPA. Alhamdulillah, masih rezeki saya, pihak JPA memberi peluang kepada saya untuk menangguhkan kursus tersebut. Ini bermakna, saya akan ditawarkan untuk menyertai kursus DPA pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 2018. Sepanjang saya mengandung 9 bulan, saya telah membuat satu ujian untuk mengenalpasti sama ada ketulan pada leher saya adalah pada kategori berbahaya ataupun sebaliknya. Hasil keputusan menyatakan ianya agak mencurigakan dan doktor mengesyorkan saya untuk membuat pembedahan selepas saya habis berpantang.

Pada 14 Februari 2018, saya telah selamat melahirkan bayi lelaki comel seberat 3.02kg. Alhamdullillah sepanjang saya mengandung, bayi dan saya berada dalam keadaan sihat. Namun, pembedahan membuang tiroid sebelah kiri saya harus diteruskan. Pada bulan Mei 2018, saya selamat membuat pembedahan membuang tiroid sebelah kiri. Saya sama seperti biasa, kelihatan sihat meskipun hati sentiasa berasa gusar. Namun, siapa sangka hasil ujian makmal pada sampel tiroid sebelah kiri saya mengesahkan ianya mempunyai sel kanser. Doktor sekali lagi mengesyorkan saya untuk membuat pembedahan kali kedua pada bulan julai 2018 bagi membuang tiroid saya sepenuhnya. Kali ini, barulah saya benar-benar sedar bahawa saya merupakan pesakit kanser yang akan bergantung seumur hidup dengan ubat thyroxin.

Ramai yang bertanya kepada saya, adakah saya benar-benar sakit. Ya, saya sakit, tapi kelihatan sihat bahkan kelihatan lebih sihat berbanding mereka yang tidak sakit. Ini kerana saya merupakan seorang yang sangat aktif. Apa yang membuatkan diri saya sentiasa kuat adalah kehadiran anak saya, Muhammad Aqwa Randy yang sentiasa menjadi penguat dan penyeri hidup saya. Sekalipun saya tidak pernah merasa sedih dengan kurniaan penyakit ini. Saya yakin semua ada hikmah disebaliknya dan saya juga tahu saya sangat kuat untuk berdepan dengan semua ini. Sekarang? Saya sedang menjalani kursus DPA 2019. Saya masih seperti biasa kelihatan sihat dan aktif. Tanda-tanda sakit kanser tiroid tiada pada saya. Ketika ini saya masih dalam rawatan membunuh sel-sel kanser yang berbaki. Namun, saya masih mampu tersenyum setelah berdepan pelbagai dugaan untuk menyertai kursus DPA, akhirnya di sinilah saya. Mencuba mencipta kejayaan demi keluarga kecil saya. Menjadi kebanggaan kedua orang tua saya dan berbakti untuk negara. Jangan pernah berhenti untuk bangkit bila kita jatuh tersungkur. Tangan-tangan sentiasa ada untuk membantu kita bangkit. Tangan-tangan itu adalah tangan-tangan mereka yang sentiasa menyayangi kita. Saya Sitti Suraidah binti Anas, pejuang kanser tiroid!