Pengurusan Ketenteraman Awam

Hasil Nukilan Muhammad Amir Azam Mohd Hafiz Destarius

Bagi Modul Pengurusan Ketenteraman Awam, modul ini dilaksanakan di dua kawasan iaitu Kem Ulu Kinta, Perak dan Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur. Namun bagi sesi perkongsian kali ini, saya ingin berkongsi cerita yang khusus sewaktu di Ulu Kinta, Perak, menjalani latihan sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Hari pertama, Sabtu Jam 1100, kami disajikan dengan pemandangan-pemandangan yang indah sepanjang perjalanan ke Markas PGA dengan kehijaun hutan, bukit bukau membuatkan terdetik satu perasaan betapa rindunya suasana hijau begini selepas sekian lama dikelilingi hutan konkrit. Tibanya kami di pintu masuk Kem Ulu Kinta, kami di sambut mesra oleh Pelatih PGA untuk mereka membawa kami ke tapak perkhemahan kami.

Aktiviti pertama bermula sejurus saja kami tiba di tapak perkhemahan kami, aktiviti yang tidak asing lagi bagi kami iaitu Physical Training atau lebih dikenali sebagai PT. Namun, rutin senaman sini luar dari kebiasaannya kerana tiap latihan yang diberikan ada objektif-objektifnya sendiri yang kami akan kenal pasti sepanjang berada di Kem ini nanti. Selepas itu, kami diberikan beberapa kelengkapan wajib bagi peserta-peserta di PGA yang akan digunakan sepanjang tiga hari di sana dan bagi aktiviti ikhtiar hidup.

Aktiviti seterusnya adalah ikhtiar hidup. Bagi kadet yang sudah biasa dengan berkhemah atau Jungle Trecking, ianya bukanlah sesuatu yang asing, namun bagi mereka yang belum pernah berpeluang untuk merasai suasana berkhemah, ini adalah satu peluang yang sangat bernilai. Sesi perkongsian kami dimulakan dengan cara untuk memasak nasi, dengar seakan mudah, tapi sekiranya sukatan air nya tidak dijaga maka sugul lah si pemasak memakan nasi mentah. Tapi kalau dah nama pun berkhemah, mentah pun mentahlah asalkan perut terisi. Seterusnya, kami juga diajar tentang cara-cara untuk mengenalpasti jenis-jenis tumbuh tumbuhan liar yang boleh dimakan dan yang beracun. Jangan disangka buah yang cantik warnanya boleh dimakan sahaja. Selain itu, cara untuk mencari sumber air bersih sekiranya punca air utama seperti sungai tidak dapat dikenal pasti.

Selesai sesi perkongsian, kami disajikan dengan masakan-masakan yang bertemakan ikhtiar hidup, antara yang betul-betul menambat hati adalah pisang salai, rasanya lebih enak dari pisang goreng dan lebih lazat dari cekodok pisang. Tidak juga dilupakan air rebusan akar tongkat ali tulen yang betul-betul dari renehan akar tersebut, mengejutkan air itu agak lazat walaupun dengan sedikit pahit. Antara kebaikan meminum air ini, ia memberikan kelancaran darah dan memanaskan badan, sesuai sangatlah untuk minum dalam keadaan suhu yang agak rendah ketika di dalam hutan, terutama sewaktu malam.

Hari kedua, jam 0615, siap berceloreng dan bersedia untuk menjalani aktiviti bagi hari kedua bagi PGA. Senaman pada pagi ini dipanggil sebagai Road Run. Larian kami diselang selikan dengan senaman khas PGA. Senaman di sini dipertingkatkan intensitinya dengan ditambah lagi rutin senaman yang baru beserta larian 200 meter selepas selesai sesuatu rutin senaman itu. Ketika senaman ini, fizikal kami betul-betul diuji dan terdapat sedikit penyesalan di hati kerana berdalih-dalih sewaktu PT di Intan.

Selesai aktiviti senaman pagi, kami diajar teknik membaca kompas. Teknik bacaan kompas berbeza mengikut pada ketika itu malam atau siang. Kami dikehendaki mengaplikasikan teknik bacaan ini di dalam hutan. Koordinat diberi dan kami harus menjejaki tiap koordinat tersebut. Sewaktu siang ianya menyeronokkan dan sedikit mudah, tapi ketika malam, ianya agak mencabar, dengan penglihatan yang terhad ianya sukar buat kami mengenalpasti koordinat yang perlu dicari. Aktiviti membaca kompas kami berakhir dan diteruskan pula dengan mendaki bukit. Jika pagi tadi kami diuji fizikal, sekarang kami diuji fizikal dan mental. Sewaktu pendakian, bersyukur ada rakan yang banyak memberikan sokongan, ada juga yang tolong menyumbangkan suara bagi menceriakan suasana. Ada juga yang jadi food supplier sepanjang pendakian. Syukur, aktiviti pendakian berakhir dengan jayanya, semua Berjaya pulang dalam keadaan selamat walaupun tengah-tengah perjalanan ada yang “koyak” mentalnya.

Hari ketiga di PGA, Jam 0615, kami diberikan satu nafas baru iaitu dengan kaedah senaman yang baru. Ia dikenali sebagai senaman balak. Kami dipecahkan mengikut kumpulan, dan tiap kumpulan mempunyai tiga orang yang memiliki ketinggian yang sama atau hampir sama. Tiap kumpulan diberikan sebatang kayu balak dan kayu balak ini perlulah dipikul bersama-sama dan setiap senaman perlulah dilakukan secara kerjasama. Senaman ini menguji sikap toleransi dan kerjasama antara ahli pasukan. Paling menarik senaman ini diakhiri dengan pertandingan merebut batang kayu balak. Kumain seronok lelaki pun dapat nak merasa berebut balak.

Aktiviti seterusnya adalah demonstrasi jerangkap samar. Demonstrasi dimulakan dengan perkongsian dari pegawai PGA yang berpengalaman luas dalam menyedia dan memusnahkan jerangkap samar. Ketika sesi perkongsian, kita boleh lihat ramai yang “tumpas” akibat keletihan dari senaman balak barangkali, namun ianya tidak lama apabila demonstrasi pertama dimulakan. Satu letupan yang diletakkan di atas pokok yang betul-betul berada dihadapan kami diletupkan. Maka selepas itu, kita lihat ramai telah bangkit. Syukur kerana mereka mampu bangkit kerana demonstrasi selepas itu adalah letupan yang lebih dasyat dari yang permulaan itu tadi. Tiap letupan yang diletupkan di siapkan dengan cara yang berbeza mengikut keadaan tempat dan sasaran ketika itu. Jerangkap samar yang paling biasa yang kita lihat di dalam kaca tv, yang biasa digunakan oleh pengganas juga ditunjukkan. Jika anda rasa Meriam paip anda sudah kuat, anda belum merasai kebingitan demonstrasi jerangkap samar di PGA lagi.

Dalam keasyikan melihat demonstrasi ini, terlintas juga di pemikiran bagaimanalah saudara-saudara kita yang berada dinegara yang sedang dilanda perang, bunyi letupan yang sudah menjadi kebiasaan buat mereka. Dengar letupan sahaja telah menggerunkan kita, bagaimana pula letupan yang bertujuan untuk memusnahkan kita. Mudahan-mudahan saudara kita di sana dikurniakan perlindungan dari Ilahi.

Baiklah, belum sempat telinga kami pulih dari bingitan letupan bom, kami di bawa ke aktiviti seterusnya iaitu aktiviti kemuncak di PGA. Iaitu inokulasi perang. Menariknya aktiviti ini adalah ia memberikan gambaran sebenar ketika perang, bagaimana rasanya ketika berdas-das peluru hidup dilepaskan di atas kepala kita. Inokulasi perang ini dimulakan dengan pembahagian kumpulan dan tiap kumpulan akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Kumpulan kecil ini akan bergerak secara formasi dan ianya perlulah secara leap-frogging dan pergerakan perlulah secara merangkak sahaja. Kami diharamkan sama sekali untuk bangun kerana kebarangkalian untuk terkena peluru adalah tinggi sekiranya kami berdiri. Selesai sudah aktiviti Inokulasi kami diberikan masa selama 15 minit untuk membersihkan diri kami di air terjun berdekatan, syukur tidak terhingga kerana pertama nikmat dapat mandi air terjun dan kedua ada sahabat kami yang tiga hari tidak mandi, MasyaAllah nikmat bau itu adalah benar belaka.

Berakhirnya inokulasi, maka berakhirlah aktiviti kami sepanjang tiga hari di Kem Ulu Kinta. Tidak dinafikan pelbagai pengalaman yang menarik dan cabaran yang kami hadapi. Semangat setia kawan di sini memainkan peranan sangat penting, ianya mampu melonjakkan diri kita ke suatu tahap yang kita tidak pernah sangka, pengorbanan rakan yang sudi memasak untuk rakan-rakan yang lain, pengorbanan rakan-rakan yang sanggup menerima denda demi rakan lain yang tidak mampu dan pengorbanan rakan yang sanggup menunggu rakan yang tertinggal akibat cedera. Jika kita lihat tiap pengorbanan ini, kita tahu yang mereka juga sama penat, sama letih seperti kita. Tetapi kerana semangat itu, mereka sudi untuk melebihkan usaha mereka sedikit bagi memudahkan cara untuk rakan-rakan mereka. Inilah semangat setia kawan, yang tiada buku atau kajian yang dapat merungkai kekuatan ia, tapi yang pasti ianya datang dari kepercayaan dan pertalian kekeluargaan yang dibina bersama.

Jadi, sampai di sini dahulu perkongsian saya untuk program Modul Pengurusan Ketenteraman Awam di PGA, dan semoga perkongsian kali ini memberikan satu suntikan semangat bagi rakan yang belum lalui dan mudahan-mudahan bagi rakan-rakan yang sudah selesai dapat mengimbau kembali kenangan-kenangan ketikan merasai peluang menjadi sebahagian dari anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

#KitaImperius