Pengalaman Modul Outward Bound School (OBS)

Hasil Nukilan Afiq Ghazali

Pada 23 Jun 2019 bersamaan hari Ahad, Sidang Infinitus telah mengikuti modul luar yang kedua, iaitu modul Outward Bound School (OBS) di Lumut, Perak Darul Ridzuan. Perjalanan bermula seawal 7.30 pagi dengan menaiki dua buah bas INTAN. Semasa perjalanan, kami telah berhenti untuk menikmati sarapan pagi di Bazar Nanas Kampung 5 pada pukul 8.50 pagi. Kami sampai ke destinasi yang dituju pada pukul 10.40 pagi. Sesampai sahaja di sana, kami disambut baik oleh jurulatih-jurulatih OBS dan diberikan masa untuk menguruskan barang-barang persendirian sebelum mendengar taklimat mengenai modul dan pecahan kumpulan atau watch. Semasa taklimat modul kami diterangkan secara asas mengenai sejarah OBS, keseluruhan aktiviti dan peraturan yang ditetapkan.

Setelah dipecahkan kepada lima watch yang kecil, iaitu watch Jerai, Irau, Yong Yap, Irong dan Kinabalu, kami semua diberikan bilik penginapan masing-masing. Bagi peserta wanita, penginapan adalah di asrama Malakov dan Gamuda manakala bagi peserta lelaki di Irau dan Kinabalu. Aktiviti kami bermula selepas makan tengah hari dengan latihan berkayak bagi watch Jerai Yong Yap dan Irau manakala berakit bagi watch Irong dan Kinabalu. Sebelum latihan berkayak dimulakan, kami semua diajar cara untuk membentuk keyakinan diri di dalam air (water confident). Selepas itu, barulah kami diajar cara-cara berkayak dan menguruskan kebersihan kayak. Aktiviti malam pula lebih bersifat kepada sesi pengenalan antara ahli-ahli watch bersama-sama jurulatih masing.

Hari kedua, tiga watch yang berlatih kayak semalamnya telah dibawa untuk ekspedisi kayak dan jungle tracking. Sepanjang ekspedisi kayak, tiada sebarang masalah atau halangan yang berlaku walaupun keadaan laut yang bergelora dan disulami dengan hujan lebat. Kesemua tiga-tiga kumpulan berkenaaan dapat sampai dengan selamat sekitar pukul 11.30 pagi. Setelah itu, kami membuat aktiviti seterusnya, iaitu jungle tracking. Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan yang berlaku pada mana-mana peserta bagi kedua-dua aktiviti ini. Kami semua pulang ke pengkalan OBS pada pukul 2.30 petang. Aktiviti malamnya pula adalah taklimat berkenaan dengan solo camping.

Keesokkan harinya seawal jam 7.00 pagi, kami semua telah dibawa kawasan hutan yang berhampiran dengan OBS untuk aktiviti solo camping. Aktiviti solo camping ini merupakan aktiviti yang agak mencabar adrenalin setiap seorang daripada peserta. Ada di antara kami yang diganggu oleh monyet sehingga tercedera dan ada yang diganggu oleh babi hutan. Secara keseluruhan, aktiviti berkenaan membentuk jati diri yang kental, semangat yang jitu dan keyakinan untuk mandiri. Selepas pulang daripada aktiviti solo camping, kami semua dikehendaki untuk belajar tentang cara-cara untuk aktiviti whaler kerana keesokkan harinya kami semua akan membuat aktiviti whailing.

Aktiviti whaler agak mencabar bagi kami semua memandangkan ada diantara kami yang tidak pernah belayar di lautan. Setiap kumpulan disiapkan dengan bekalan makanan yang secukupnya, perkakasan memasak dan khemah untuk tidur kerana kami akan tidur di Pantai Syawal, destinasi yang kami tujui. Selama hampir sembilan jam kami semua mendayung merentasi samudera untuk sampai ke destinasi, pelbagai cara kami lakukan untuk memberi dorongan dan semangat kepada rakan-rakan mendayung. Kami bernyanyi, bercerita dan memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain. Di sini, kami belajar erti saling bantu-membantu, bertolak ansur, simpati dan sabar kerana mendayung memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat. Sesampai di Pantai Syawal, sebahagian daripada kami bertugas untuk mendirikan khemah dan sebahagian lagi memasak untuk watch masing-masing. Kami pulang ke pengkalan OBS keesokkan harinya seawal pukul 7 pagi.

Sesampai di pengkalan, kami diberikan taklimat untuk malam barbeku. Setiap satu watch diberikan tugas masing-masing seperti, hiasan pentas, makanan, persiapan dewan, dan persediaan meja vip. Kami juga dikehendaki untuk membuat persembahan mengikut watch masing-masing. Malam barbeku berlangsung dengan jayanya dan semua orang bergembira walaupun itu merupakan malam yang terakhir.

Hari terakhir kami pada pagi Sabtu 29 Jun 2019, kami menghadiri majlis penutupan untuk sesi penyerahan sijil dan pengumuman anugerah. Anugerah survival telah diberikan kepada Nur Shazwani Najlaa bin Khairuddin. Semasa majlis itu, nyanyian lagu selamat hari jadi berkumandang memandangkan salah seorang peserta, iaitu Nurul Asyiran binti Abas meraikan ulang tahun kelahiran pada hari tersebut. Kami semua pulang ke INTENGAH pada pukul 2 petang.