Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) INTAN merupakan satu kursus mandatori yang dilaksanakan semenjak tahun 1977 lagi khusus bagi melahirkan para Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang memiliki komitmen, pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang tinggi dalam bidang pengurusan awam.

Sejajar dengan transformasi perkhidmatan awam negara dan pengukuhan INTAN sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Latihan Kerajaan dan Kepimpinan Sektor Awam yang berperanan dalam membangun dan membentuk modal insan yang kompeten, dinamik serta progresif, pelaksanaan serta kurikulum program DPA INTAN telah disemak semula dan ditambahbaik untuk membangunkan sebuah program latihan disiplin bagi bakal pegawai PTD.

Justeru, mulai tahun 2015, Program Diploma Pascasiswah Pengurusan Awam (DPA) INTAN telah dibangunkan dan dilaksanakan oleh INTAN kepada peserta Kadet PTD. Modul-modul yang ditawarkan dalam Program DPA telah dirangka dengan teliti serta terperinci kerana ianya merupakan sebuah program khas yang dibangunkan secara komprehensif khusus untuk melahirkan bakal-bakal pemimpin masa hadapan yang kompeten, mempunyai personaliti unggul dan mampu memacu perkhidmatan awam negara ke puncak kecemerlangan. Program DPA INTAN telah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkuat kuasa pada 30 Disember 2015.

Program ini berkonsepkan latihan menyeluruh yang berteraskan peningkatan profesionalisme peserta dengan memberi penekanan kepada enam(6) elemen utama dalam pembentukan peribadi serta jati diri yang dinamakan AKSARA iaitu Attitude (Sahsiah), Knowledge (Pengetahuan), Skills (Kemahiran), Adaptability (Kebolehsesuaian), Resilience (Daya Tahan) dan Agility (Ketangkasan) yang diterjemahkan melalui dua bidang pembelajaran iaitu Kurikulum dan Ko-Kurikulum. Kurikulum Program DPA INTAN merangkumi tiga komponen utama iaitu Komponen Akademik (Teori dan Praktikal), Komponen Integrasi Nasional dan Pengukuhan Diri serta Komponen Kepimpinan dan Kemahiran Interpersonal. Manakala bidang Ko-Kurikulum pula didukung oleh enam exco yang melaksanakan program/aktiviti yang dirancang serta dikelolakan oleh peserta sepenuhnya merangkumi Exco Kepimpinan & Protokol, Exco Kecergasan & Rekreasi, Exco Kesenian dan Kreativiti, Exco Kerohanian dan Integrasi, Exco Informasi & Multimedia serta Exco Kebajikan & Kaunseling.

Program DPA dilaksanakan selama sepuluh bulan secara sepenuh masa di INTAN dan dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Subkluster Pembangunan Modal Insan di bawah Kluster Pembangunan Profesional dan Etika, INTAN.