Si Gadis Kecil

Hasil Nukilan Audrey Aurora

Tubuh kecil kanak-kanak berusia enam tahun itu digerak-gerak oleh ayahnya. Goncangan lembut itu terhenti apabila dilihat anaknya memisat-misat mata. Tanda masih mengantuk!

Bangunlah. Hari ni hari pertama sekolah. Baju baru, beg baru, kasut…siapa nak pakai,” suaranya sedikit keras. Gadis kecil itu bangun dari baringnya lalu duduk bersimpuh sambil terkebil-kebil memandang cahaya lampu pelita yang sudah terkulap-kulap. Pandangannya polos, masih bingung akan ertinya persekolahan.

*****

Tepat jam 5.00 pagi mereka memulai langkah menuju ke sekolah yang jauhnya sejam perjalanan kaki. Hujan semalaman menyebabkan tanah berbecak menyukarkan langkah kaki mereka. Ditambah lagi dengan keadaan yang masih gelap tanpa cahaya matahari. Hanya lampu suluh berharga RM10 menjadi peneman mereka sepanjang perjalanan. Si gadis kecil hanya mengikuti langkah ayahnya tanpa sebarang omelan. Dia sudah biasa dengan jalan-jalan hutan dan berbukit-bukau. Hatinya keras!

Bahkan dia sudah biasa berjalan balik dari sekolah berseorangan ketika menginjak lebih dewasa. Hutan yang tebal, kicauan burung, sawah-sawah padi, laluan sungai seakan sudah mengenali perjuangan gadis kecil itu.

*****

Buat pembetulan 10 kali untuk setiap kesalahan…!,” suara ibu yang kuat mengejutkan si gadis yang sudah berusia 10 tahun. Dengan linangan air mata menahan esakan dia menulis setiap perkatan Bahasa Inggeris itu satu persatu. Itulah satu-satunya subjek yang dia gagal untuk peperiksaan pertama tahun itu. Terkadang tulisan itu nampak kabur kerana cahaya lampu pelita yang malap menyukarkannya menulis dengan kemas. Bukunya juga basah lencun dengan titisan air mata yang deras mengalir ke pipi. Hatinya begitu takut apatah lagi melihat rotan di tangan ibunya.

Di siang hari pula, dia menemani datuknya ke kebun. Datuk seorang yang bekerja kuat. Baginya kalau tak bekerja maka tiadalah nasi yang akan disuap. Bahkan datuk seorang yang sangat tegas dalam soal pembaziran makanan. Pinggan cucu-cucunya akan diperiksa untuk memastikan tiada sebutir pun nasi yang tertinggal. Pukul 5 pagi merupakan rutin hariannya untuk ke kebun dan selalunya akan balik pukul 7 malam. Nasi panas berlaukkan garam merupakan kegemarannya. Katanya nasi dan garam lebih sedap apabila dimakan di tanah.

Ada nasi dah kira beruntung,”ujarnya kepada kesemua cucu-cucunya yang masih tak faham akan keperitan hidup. Kesemua cucu-cucunya nampak berselera makan walaupun hanya berlaukkan garam.

*****

Sekali lagi air matanya deras mengalir. Begitu mudah gadis itu menumpahkan air matanya. Hatinya rawan. Dipandangnya kawan-kawan yang lain kesemuanya berwajah ceria. Hatinya masih teringat akan ibu, ayah dan adik-adiknya. Itulah kali pertama dia dihantar ke asrama dan berjauhan dengan keluarga. Malam pertama di asrama merupakan kenangan yang tidak boleh dilupakannya. Berkongsi almari bersama dua lagi pelajar lain kerana kekurangan fasiliti adalah perkara biasa. Tilam juga tidak mencukupi dibekalkan oleh pihak sekolah. Tahun itu ramai pula pelajar Tingkatan Satu melapor di sekolah menengah tersebut. Mungkin kerana itulah satu-satunya sekolah menengah di kawasan itu.

Maka, terpaksala dia berbaring di atas lantai tanpa alas. Hatinya teringat akan tilam kecilnya di rumah. Walaupun nipis tetapi masih selesa untuk dia melelapkan mata. Matanya sudah bengkak kerana banyak menangis. Kawan-kawan yang lain pula mulai mengejek mengatanya anak manja. Tapi masih, hatinya kuat..!

*****

Kali ini dia kelihatan panik. Diselongkarnya seluruh almari tetapi duit RM10 yang diberikan sebagai wang saku untuk dua minggu masih belum dijumpai. Mulanya dia merancang untuk menggunakan wang tersebut untuk membeli mi segera memandangkan hujung minggu tidak balik. Perutnya sudah mulai lapar. Sahabatnya juga sudah buntu untuk membantu.

Duit awak hilang ke?,”tanya salah seorang pengawas asrama. Dia hanya mengangguk bodoh. “Saya bukan menuduh tapi saya tau sapa yang ambil,”ujar pengawas itu lagi.”Tak apalah, awak ambil Maggie saya ni. Makanla dulu. Saya beli yang lain,”katanya sambil menghulurkan mangkuk mi yang panas itu. Gadis itu menyambutnya tanpa mampu berkata-kata. Hatinya mulai meneka gerangan orang yang mencuri duitnya. Ya, gadis yang di sebelah almarinya. Gadis yang dibesarkan oleh neneknya dan rumahnya hanya boleh dihubungi oleh jalan air. Perjalanan menggunakan perahu memakan masa selama 3 hingga 4 jam. Hatinya terdetik sayu. Rupanya ada orang yang lebih susah dari dirinya. Hatinya kuat lagi..!

Malah, semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Tahun 2006, dia sanggup membantu sahabatnya itu mengulang kaji pelajaran. Gadis yang menghidapi disleksia itu menghadapi kesukaran dalam pembelajaran. Bahkan di saat-saat akhir peperiksaan SPM juga dia masih belum tahu membaca. Betapa di dunia ini ada lagi yang masih memerlukan pertolongan kita.

*****

Saya nak terokai dunia luar, apak. Saya nak tengok dunia luar.” Ayah hanya tersenyum tanda menyetujui keputusan anaknya. Dia menyediakan segala kelengkapan untuk memudahkan anaknya menyambung pelajaran ke tanah seberang. Sekali lagi air matanya menitis kerana kali ini Lautan Cina Selatan akan memisahkan mereka. Kali ini bukan dua minggu sekali dia balik seperti di asrama dulu tetapi memakan masa berbulan baru dapat menjenguk kampung halaman. Hatinya gusar tapi kekuatan untuk meneruskan cita-cita menjadi penguat semangatnya untuk meneruskan perjuangan.

Si gadis kecil kini sudah dewasa. Pengalaman hidup menjadikannya lebih dewasa. Si gadis kecil mulai mengerti bahawa tanpa sokongan ibu bapa dia takkan mengecapi kejayaan sekarang. Tanpa keberanian memulai langkah pertama melalui denai-denai berbecak ke sekolah takkan membawanya sehingga ke tahap sekarang. Tanpa didikan tegas seorang ibu yang membuat anaknya menangis, ibu takkan tersenyum bangga seperti hari ini. Tanpa pemahaman tentang keperitan hidup dari datuk, takkan terbit keazaman si gadis kecil untuk merubah hidupnya. Tanpa pengalaman dibiarkan hidup berdikari di asrama, mungkin si gadis kecil takkan menjadi seorang yang kuat semangat. Dan ingatlah, sekiranya kita rasa dugaan kita berat, ada lagi orang yang lebih berat dugaannya di dunia ini.

~ Know your enemy and know yourself, You can fight a hundred battles without a disaster ~

~ And when you breathed, Make sure your breath was lightning ~