Negara Tua, Bersediakah Malaysia?

Hasil Nukilan Syafinas binti Azam Infinitus

Malaysia dijangka menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk negara ini merangkumi warganegara yang berusia lebih 60 tahun dalam pola 15 peratus daripada jumlah penduduk negara. Secara umumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jangka hayat bagi penduduk negara ini telah meningkat dengan amat positif. Berbanding tahun 2012, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa seorang lelaki yang mencapai umur 65 tahun pada 2018 dijangka akan hidup selama 15.0 tahun lagi manakala bagi wanita selama 17.2 tahun lagi yakni masing-masing meningkat sebanyak 0.5 tahun dan 0.8 tahun. Walaubagaimanapun, timbul persoalan adakah Malaysia bersedia menghadapi dinamik perubahan pola penduduk ini?

Pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan oleh sesebuah negara dalam usaha bersiap siaga mengalami transformasi negara tua. Aspek-aspek berkenaan seperti yang telah diutarakan oleh Prof. Madya Dr Shaharudin Idrus dalam penulisannya di akhbar Berita Harian pada tahun 2016, termasuklah pembangunan prasana minda dan pembangunan prasana fizikal. Pembangunan prasana minda meliputi perhatian dan kasih sayang yang wajar diberikan kepada golongan warga emas. Tidak dinafikan bahawa golongan warga emas bukan sahaja mempunyai risiko tinggi untuk terdedah kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit, malahan penyakit mental seperti kemurungan turut menjadi ancaman tegar terhadap golongan ini.

Di antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kemurungan dalam kalangan warga emas merupakan faktor keupayaan warga emas untuk mengurus diri mereka sendiri termasuklah dari segi kewangan, pergerakan, komunikasi dan pemakanan. Malahan, sebuah kajian yang dijalankan dalam kalangan warga emas di sekitar negeri Johor (Nur Aqlili Riana, 2018) mencerminkan bahawa warga emas yang mempunyai prestasi kesihatan fizikal meliputi imbangan badan, kelajuan berjalan dan kelenturan tubuh badan yang kurang memuaskan adalah berisiko tinggi untuk mengalami kemurungan. Oleh yang demikian, kerajaan secara amnya perlu mengambil berat faktor-faktor yang berkenaan dalam persediaan ke arah negara tua. Program-program seperti senaman aerobik, 10,000 langkah dan gotong-royong adalah antara inisiatif yang dapat dijalankan dalam usaha meningkatkan prestasi kesihatan fizikal golongan warga emas.

Dalam takrifan pembangunan prasana fizikal, ia meliputi infrastruktur pengangkutan awam dan persekitaran, sama ada kemudahan-kemudahan ini sesuai untuk status negara tua. Bahkan kejayaan Malaysia dalam membentuk negara tua yang unggul bergantung kepada satu langkah pertama dan diikuti oleh langkah-langkah seterusnya. Terbaru kerajaan menerusi kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercadang untuk mengemukan polisi ‘Cradle to Grave’ yang akan memberi fokus utama bagi golongan warga emas dan wanita. Erti kata bagi golongan warga emas yang tiada penjaga, mereka akan dapat dikenalpasti menerusi polisi ini dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Badan Bukan Kerajaan.

Kemudahan perubatan yakni dari sudut insurans perubatan juga perlu diberikan perhatian khusus oleh pihak kerajaan. Hal ini disebabkan kebanyakkan syarikat insurans menetapkan had umur tertentu untuk pembiayaan insurans perubatan waima sekalipun golongan warga emas amat terdedah kepada pelbagai penyakit dan memerlukan kos rawatan yang tinggi, namun pihak syarikat insurans lebih mengutamakan faktor keuntungan semata-mata. Seterusnya, Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Tengku Aizan Hamid berkata selain daripada peningkatan mengenai kemahiran pengurusan kewangan, dalam konteks negara yang berhadapan dengan status negara tua, simpanan selepas persaraan juga perlu dipertingkatkan.

Sebagai rumusan, pelbagai aspek perlu dikenalpasti dalam mengukur kebersediaan Malaysia menggalas status negara tua. Profil warga emas perlu diperkukuhkan secara holistik baik dari sudut pembangunan prasana minda dan pembangunan prasana fizikal. Kesimpulannya, Malaysia kini dalam peringkat memperkukuhkan dasar termasuklah menggubal polisi baru untuk kebaikkan golongan warga emas.