Merdeka! Merdeka! Merdeka

Hasil Nukilan Izzati Nabilah Binti Norazme Proxima

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Itulah laungan keramat yang mengegar perkarangan Stadium Merdeka pada tarikh 31 Ogos 1957. Sejujurnya Merdeka itu senang untuk diucap, Merdeka itu senang untuk diraikan namun begitu erti kemerdekaan pada golongan kini sukar untuk dikekalkan. Merdeka dalam konteks masa kini bermaksud bebas daripada cengkaman anasir luar, bebas untuk bergerak dalam negara sendiri, hidup dalam masyarakat yang harmoni dan tidak bergantung kepada kuasa luar. Akan tetapi, sedikit demi sedikit pegangan kemerdekaan itu terhakis dek kerana rakusnya manusia dalam mengejar kekayaan dan kemasyuran. Bagi mengekalkan kemerdekaan di Malaysia, seseorang rakyat seharusnya memiliki integriti yang tinggi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terbilang cemerlang dan gemilang di persada dunia.

Integriti merupakan elemen penting dalam mengekalkan kemerdekaan sesebuah negara. Melalui integriti semangat untuk cintakan tanah air akan dapat melahirkan sebuah negara yang bersatu padu dan bertoleransi. “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” adalah tema kemerdekaan yang telah dipilih pada tahun 2019 yang mana mengambarkan simbol rakyat berbilang bangsa hidup dalam keadaan harmoni, seia sekata, bersatu padu dan curahan kasih sayang kepada negara Malaysia tercinta. Hal ini, keharmonian dan perpaduan dalam hidup bermasyarakat adalah teras utama yang membentuk sesebuah negara untuk bergerak maju seiring negara lain.

Secara umumnya integriti terdiri daripada dua bahagian iaitu integriti individu dan integriti organisasi. Integriti individu adalah kualiti atau pegangan etika dan prinsip moral diantara kepentingan yang ada dalam diri sendiri dengan kepentingan umum. Manakala integriti organisasi pula adalah perlakasanaan kod etika, piagam pelangan dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan kerja terbaik. Bagi mengekalkan kemerdekaan kedua-dua integriti ini adalah sangat berkait rapat. Integriti individu sering dikaitkan dengan isu rasuah.

Seharusnya sebagai seorang yang mempunyai semangat cintakan negara, integriti mereka adalah tinggi namun begitu sejak akhir-akhir ini hangat diperkatakan mengenai isu yang melibatkan integriti terutama penjawat awam. Tanggungjawab sebagai penjawat awam haruslah dilaksanakan sebaik mungkin dalam mendapat keberkatan dan memperkukuhkan semangat patriotisme.

Riwayat Saidina Umar RA berkata “Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda yang lahir pada hari ini”. Seharusnya sebagai seorang penjawat awam muda, perlu mempunyai kesedaran yang tinggi terutama semangat cinta akan negara. Islam sendiri telah menjelaskan bahawa terdapat beberapa penekanan untuk memastikan kemerdekaan terus dikecapi. Antaranya ialah semangat patriotik yang mencukupi dalam persembahan melalui pengkisahan yang berlaku dalam al-quran dan hadis. Sebagai contoh adalah kisah cintakan tanah air oleh Nabi Ibrahim As sebagimana yang telah dinyatakan dalam Al-Quran, surah Al- Baqarah ayat 126.

Justeru itu, kita haruslah sedar bahawa kemerdekaan negara kita dikecapi oleh jutaan pengorbanan daripada generasi datuk nenek kita yang telah berjuang untuk memastikan anak cucu mereka dalam mengecapi hidup yang aman dan bebas dan merdeka. Kemerdekaan yang telah dikecapi pada hari ini bukan datangs secara percuma dan hasilnya kita dapat rasakan pada masa kini. Justeru itu sanggupkah kita menggadaikan kemerdekaan ini sekali lagi