Tuition Mission

Hasil Nukilan Aimy Najwa binti Mohd Kharul Apendi Destarius

“Ular yang menyusur akar, takkan hilang bisanya.

Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa.”

 

Rasa ditampar dengan kata-kata tersebut, dalam maksudnya membawa seribu makna. Itulah antara nilai-nilai yang cuba diterapkan dalam diri setiap kadet Diploma Pengurusan Awam (DPA) selama 10 bulan ini.

Sepanjang 7 minggu bergelar kadet DPA, pelbagai aktiviti dan program yang telah dilaksanakan dan saya suka untuk berkongsi pengalaman semasa menyertai aktiviti sukarelawan yang telah dijalankan pada 23 Februari 2019 yang lalu. Seramai 57 orang sukarelawan dikalangan kadet DPA telah menyertai minggu pertama Tuition Mission dan dibahagikan lagi kepada 3 kumpulan.

Misi ini telah berlangsung di 3 buah kampung Orang Asli secara serentak iaitu di Kampung Rasau Hilir, Puchong, Kampung Sungai Melut, Dengkil dan Kampung Bukit Tadom, Banting. Misi ini juga telah disertai oleh alumni Yayasan Sukarelawan Siswa yang datang dari pelbagai universitI seramai 10 orang.

Menurut pengarah projek, Siti Zurianah Ismail, objektif misi kali ini adalah berfokuskan kepada pembelajaran subjek Information and Communication Technology (ICT), Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Sasaran kumpulan terbahagi kepada empat kategori iaitu untuk golongan sekolah rendah, sekolah menengah, belia dan ibu bapa. Pembelajaran lebih berkonsepkan “Fun Learning” yang lebih memfokuskan kepada keperluan dan kesesuaian peserta.

Sekitar pukul 10 pagi kanak-kanak dalam lingkungan umur 4 ke 14 tahun mula memenuhi ruang dewan. Terdapat kanak-kanak yang kelihatan begitu yakin serta sentiasa tersenyum, dan ada juga yang malu-malu apabila cuba didekati. Seramai 25 orang telah terlibat dalam aktiviti pertama iaitu Musical Chair.

Seterusnya ialah kelas penggunaan komputer riba. Apa yang mengejutkan ialah apabila mereka sendiri yang telah meminta untuk diajar cara menggunakan komputer. Mereka telah diajar melukis dan mewarna bentuk menggunakan aplikasi Paint di komputer riba, belajar menaip menggunakan Microsoft Word dan sesi pembelajaran mengenal nama-nama haiwan, buah-buahan dan juga warna.

Sekitar jam 2.30 petang, golongan belia dan ibubapa pula hadir ke tempat aktiviti dijalankan. Kami telah memberi pengenalan mengenai dunia Web dan e-mel kepada peserta yang hadir pada hari itu. Mereka diajar untuk membuka account Gmail, menggunakan Google Translate serta mengendalikan akaun Facebook

Golongan belia pula telah diberi pendedahan cara-cara menggunakan Microsoft Powerpoint. Mereka telah diajar untuk insert image, smart art, copy dan paste gambar hasil dari pencarian di Google, cara membuat jadual, dan menghias slide. Ini dapat meningkatkan daya berfikir secara kreatif dan kritis.

Misi yang pertama ini telah berakhir pada pukul 5 petang. Kami menyatakan harapan kami kepada peserta agar mereka akan hadir lagi pada sesi minggu hadapan dan yang seterusnya. Kami bergerak keluar dari kampung untuk menuju ke bas dan dalam perjalanan kami itu, kedengaran jeritan dari kanak-kanak di padang;

“Datang lagi ya! Kami nak belajar computer lagi!”

Ah, hilang penat kami seharian. Balik dengan perasaan sebak dan bangga. Memang benar, hidup manusia biar berjasa, tidak membezakan bangsa dan juga rupa.

Aimy Najwa binti Mohd Kharul Apendi

Destarius, Imperius.